HATI yang bersih selalu kita kaitkan dengan amalan-amalan penyucian jiwa. Nak jadikan hati bersih, maka cucilah hati. Bila selalu sangat tidak dicuci, lama-lama kekotoran itu dah terlalu sukar untuk dihilangkan. Hitam dan terus menghitam.

Hati ni sama saja dengan peralatan-peralatan di rumah kita yang lain. Pinggan, mangkuk, sudu dan apa saja barang yang kita ada, kalau jarang dibersihkan, jarang juga dijaga, berkaratlah jadinya nanti.

Nak bersihkan hati ni, saya nasihatkan jadilah kita seorang yang pemaaf. Nak jadi seorang pemaaf pula, jiwa nak tak nak mesti kena bersih.

Bila hati tak suci, susah nak jadi pemaaf, payah nak memaafkan orang lain. Sebab hanya orang yang bersih hatinya saja yang mampu memaafkan orang lain.

Kenapa kita selalu diselaputi dengan rasa tak puas hati, dendam, marah dan kecil hati terhadap seseorang? Bila kita cuba nak memaafkan mereka, tetap juga hati tetutup untuk cuba menjadi pemaaf. Kenapa jadi macam tu?

Sebab itu saya sebut, jadilah kita seorang pemaaf. Selalulah ingat bahawa seorang yang pemaaf ini adalah cerminan wajahnya, juga melambangkan bersihnya hati seseorang itu. Pemaaf tak bermakna anda kalah. Pemaaf juga tak bermakna bahawa anda berada di bawah.

Percayalah bahawa seorang pemaaf itu sebenarnya adalah seorang juara. Andalah yang berada di atas. Sebab anda berjaya mengatasi nafsu dan rasa tinggi hati terhadap manusia lain.

Berubahlah dari sekarang. Semoga kita menjadi insan-insan yang sentiasa memaafkan orang-orang di sekeliling kita.

Hati yang bersih adalah cerminan-cerminan wajah dan diri kita.