Masalah keguguran dan kanser payu dara isu kritikal kaum wanita.

Masalah keguguran dan kanser payu dara sering menjadi suatu isu yang amat kritikal untuk dibincangkan. Pelbagai usaha, teori dan kajian yang dijalankan untuk mengaitkan hubungan antara keguguran semasa kehamilan dengan risiko kanser payu dara.

Kanser payu dara sendiri merupakan kanser yang paling tinggi peratusannya dihidapi oleh kaum wanita, dan ianya kian menjadi igauan ngeri buat kaum wanita masa kini di seluruh dunia!

Bagaimana keguguran mempengaruhi paras hormon semasa kehamilan?

Teori, pendapat dan kenyataan mengenai perkaitan antara keguguran dan kanser payu dara semakin meningkat berikutan fakta yang mengaitkan bahawa keguguran didapati mengganggu kitaran normal paras hormon di dalam tubuh wanita yang sedang hamil. Dan ramai yang mendapati bahawa gangguan kitaran normal ini secara tidak langsung akan meningkatkan risiko seseorang wanita untuk menghidap kanser payu dara.

Kajian terperinci perkaitan keguguran dan kanser payu dara.

Pelbagai teknik dan kaedah yang dijalankan untuk menghasilkan kajian yang paling tepat buat mengaitkan hubungan antara masalah keguguran dengan kanser payu dara. Antara yang terawal adalah melalui kaedah case-control study. Namun, kaedah awal ini didapati menghasilkan bias dan keputusan yang kurang tepat.

Justeru, pelbagai usaha lain dijalankan untuk mengaitkan kedua-dua permasalahan ini. Prospective study didapati mampu menghasilkan keputusan yang lebih memuaskan dan jauh daripada bias yang diperolehi melalui kaedah case-control study.

Melalui kaedah yang lebih tepat ini, sekumpulan wanita yang bebas daripada kanser dikenalpasti. Dan mereka akan disoal mengenai masalah keguguran mereka sebelum ini. Adakah pernah mengalami keguguran atau pun tidak. Kemudian, kesemua wanita ini akan diperhatikan untuk suatu jangka masa bagi mengenalpasti berapa ramai yang bakal menghidap kanser payu dara selepas itu.

Hasil kajian hubungan antara keguguran dan kanser payu dara.

Pada tahun 1990, satu kajian terperinci telah dijalankan ke atas sekumpulan wanita yang lahir pada tahun 1935 sehingga 1978 di Denmark. Kajian ke atas kira-kira 1.5 juta wanita ini dijalankan dengan berpandukan rekod terperinci daripada rekod perubatan dan kesihatan di National Registry of Induced Abortions and Danish Cancer Registry. Dan apa yang diperolehi dari kajian ini mendapati bahawa masalah keguguran tidak mempunyai pengaruh ke atas risiko bagi seseorang wanita menghidap kanser payu dara!

Suatu lagi kajian besar-besaran secara terperinci telah dilaporkan oleh para pengkaji di Harvard pada tahun 2007. Kajian ini dijalankan ke atas 100 000 orang wanita yang berumur antara 29 sehingga 46 tahun. Penyelidikan yang mula dijalankan pada tahun 1993 sehingga tahun 2003 ini juga mendapati bahawa tiada hubungan antara masalah keguguran dan kanser payu dara.

Kajian lain di California ke atas kira-kira 100 000 wanita juga telah dilaporkan pada tahun 2008. Penyelidikan ke atas wanita bermula pada tahun 1995 ini juga mendapati bahawa tiada langsung perkaitan antara masalah kanser payu dara dan keguguran.

Kesimpulan kajian?

Perkaitan masalah keguguran dan kanser payu dara ini telah membuka mata banyak pihak. Hubungan antara kaedah kajian dan penyelidikan terhadap hasil yang diperolehi juga memberi suatu impak berbeza kepada mata masyarakat.

Kanser payu dara yang mana merupakan kanser paling biasa ditemui di kalangan wanita, dan juga kedua tertinggi sebagai kanser pembunuh wanita (pertama ialah kanser paru-paru) masih merupakan antara masalah besar bagi kehidupan para wanita.

Sehingga kini, hasil-hasil kajian saintifik belum lagi menemui kaitan dan hubungan secara tepat antara masalah keguguran dan kanser payu dara.